KUCHING: Kebolehpasaran siswazah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang mencapai 96 peratus memberi bayangan bahawa negeri ini berada di landasan yang betul dalam menerokai ekonomi baharu berteraskan teknologi.

Demikian tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen PKS Kali Ke-30 (sidang kedua) di Hotel Imperial Kuching, hari ini

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada PKS kerana hampir semua siswazahnya mendapat pekerjaan dalam beberapa sektor selepas tamat pengajian.

CEMERLANG… Abang Johari (dua kiri) bersama-sama dengan Hikmatullah (kiri) menyampaikan Anugerah Pengarah Politeknik – Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Politeknik) kepada siswazah Diploma Akauntansi  Sonia Tay Yee yang ditemani oleh bapa dan kakaknya pada pada Majlis Konvokesyen PKS Kali Ke-30 (Sidang Kedua), di Hotel Imperial Kuching, hari ini.

“Perkara tersebut menunjukan bahawa ekonomi Sarawak berjalan dengan baik termasuk memberikan tumpuan kepada sektor-sektor penting seperti kejuruteraan, biokimia dan sains bahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PKS Hikmatullah
Hajid Ahmad Khan memaklumkan kejayaan siswazahnya telah menterjemahkan hasrat dan misi mereka untuk melahirkan individu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sememangnya kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja diukur dengan pencapaian dari segi kedudukan atau penarafan, tetapi juga dengan keupayaan melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif, serta serba boleh,” ujarnya.

Rakaman sekitar Majlis Konvokesyen PKS Kali Ke-30 (Sidang Kedua), di Hotel Imperial Kuching, hari ini.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan kadar kobolehpasaran siswazah PKS melebihi 96 peratus dan ia menunjukkan mereka cukup laris di pasaran pekerjaan.

Suara Sarawak