BERCAKAP… Abang Johari menjawab soalan daripada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak, hari ini.
Photo Ramidi Subari

KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap pengumuman Belanjawan Negara 2023 nanti akan membawakan perkhabaran gembira.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini sememangnya menantikan peruntukan dana yang besar diberikan Kerajaan Persekutuan dalam usaha melancarkan pembangunan negeri ini.

“Kami berharap dapat menerima beberapa bantuan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak.

“Sudah tentu harapan kita adalah cukup besar,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai harapan Sarawak terhadap Belanjawan Negara 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Belanjawan 2023 akan dibentangkan awal iaitu pada 7 Oktober ini berbanding sebelumnya yang dijadualkan pada 28 Oktober 2022.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) juga diawalkan pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal.

Suara Sarawak