Kapsyen: Dr Hazland (duduk) mengambil gambar kenang-kenangan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Mansor Othman di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Hazland menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan mengenai pengurusan alam sekitar di peringkat Persekutuan dan Sarawak serta kerjasama strategik antara kedua-dua kementerian. 

Beliau berkata, perbincangan itu turut meliputi pelbagai inisiatif dan maklumat berkaitan pengurusan alam sekitar di Sarawak seperti perubahan iklim, ekonomi kitaran, pasaran karbon dan tenaga yang boleh diperbaharui khususnya kuasa hidro serta tenaga boleh baharu iaitu hidrogen dan solar. 

Selain itu, pelaksanaan pemberian kuasa penuh berkenaan alam sekitar di Sarawak secara berfasa juga turut dibincangkan bersama. 

Kunjungan hormat itu turut dihadiri Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar KASA Jamalulail Abu Bakar dan pegawai dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.

Selepas itu, Dr Hazland dan rombongan turut dibawa melawat Environmental Data Centre (EDC) yang terletak di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wisma Sumber Asli. 

Beliau telah diberikan taklimat berkenaan pengoperasian dan pemantauan udara, sungai, marin, air serta tanah oleh pegawai daripada JAS.

Suara Sarawak