Abang Johari tiba di Jeti Kampung Telaga Air selepas turut serta dalam penurunan tukun tiruan terakhir, hari ini.

KUCHING: Pelancongan marin akan dilonjakkan di negeri ini, yang menumpukan kepada aktiviti menyelam di kawasan terumbu karang serta memancing.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia sebagai kesinambungan daripada Fasa 1, Projek Tukun Tiruan Sarawak (2018-2022) yang telah berjaya dilaksanakan.

“Projek fasa kedua ini akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun depan.

“Kita akan memberi peruntukan untuk fasa kedua yang ada hubung kait dengan promosi pelancongan menerusi terumbu karang dan aktiviti memancing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksinan penurunan tukun tiruan terakhir di bawah Fasa 1, Projek Tukun Tiruan Sarawak (2018-2022) di Jeti Kampung Telaga Air di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata projek berkenaan akan dilaksanakan dari Kuching sehingga ke Miri.

Suara Sarawak