KUCHING: Sarawak menyumbang sebahagian besar dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan China sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ketara ekonomi negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia berikutan banyak projek infrastruktur di Sarawak diusahakan bersama syarikat dari China, termasuk projek Jambatan Batang Lupar.

“Saya berharap agar pertumbuhan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara akan terus berkembang di samping menjadi salah satu penggerak utama Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis makan malam Ulang Tahun ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China (KCTIE) dan Pesta Pertengahan Musim Luruh di Restoran Shangri-La di sini, malam Ahad.

Sementara itu, Abang Johari berkata jumlah dagangan antara Sarawak dan China meningkat kepada RM27.045 bilion tahun lepas.

Katanya berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTED), jumlah eksport dari Sarawak ke China merekodkan sebanyak RM18.633 bilion pada 2021.

Manakala, katanya dagangan import merekodkan sebanyak RM8.4 bilion.

Abang Johari bercakap pada majlis makan malam Ulang Tahun ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China (KCTIE). – Japen

Suara Sarawak