PENYERAHAN… Presiden Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan Malaysia), Harolhanam Mohamed Wahid (pertama kiri) menyerahkan replika cek sebanyak RM220,180.17 Bantuan Kepada Pesakit Hospital di Sarawak kepada Wakil Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Asmah Nazahiyah Said (dua kanan) sambil disaksikan Aaron (dua kiri) dan Abd Halim (tiga kanan).

KUCHING: Sarawak masih kekurangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) apabila hanya seramai 33 orang ditugaskan di negeri ini, berbanding keperluan sebenar sebanyak 63 PKSP.

Ketua Profesion PKSP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Abd Halim Jamil berkata, tambahan 30 lagi PKSP diperlukan bagi memastikan keperluan psikososial pesakit, keluarga dan komuniti di negeri ini dipenuhi.

“Sementara bilangan PKSP di KKM pula hanya seramai 280 perjawatan, sedangkan keperluan sebenar seramai 605 orang. Ini bermakna kita kekurangan sebanyak 325 PKSP.

“Bahkan, bilangan di hospital-hospital di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula tidak melebihi 60 orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan PKSP di Hotel Grand Margheritta, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurut beliau lagi, disebabkan jumlah yang agak kecil, ia menyukarkan profesion tersebut menonjolkan diri dan meyakinkan pelbagai pihak tentang keberkesanan peranan yang dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar permohonan pertambahan jawatan yang telah dikemukakan kepada kerajaan dapat diluluskan bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatan PKSP di seluruh negara.

Suara Sarawak