KUCHING: Sepanjang bulan Jun hingga Ogos tahun ini, sejumlah 11.30 kilogram (kg) dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 841 berbentuk pil dengan anggaran nilai RM714,944 dirampas di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan menerusi 2,009 operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) PDRM Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Impak rampasan tersebut mampu menyekat sebanyak 113,930 kali penggunaan dadah serta menyelamatkan 47,338 individu bagi tempoh sebulan di negeri ini.

“Nilai rampasan ini adalah penurunan sebanyak 74.57 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu (RM 2,811,603.14).

Fatimah bercakap pada sidang media.

“Dalam masa yang sama, jumlah rampasan tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 73.97 peratus (43.45 kg) untuk dadah mampat dan 96.53 peratus (24,297 biji) bagi jenis pil berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas Laporan Bulanan Bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) dan Kunjungan Hormat Pengarah JSJN Bukit Aman CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Mengikut pecahan, sebanyak 6.18kg rampasan tersebut adalah dadah dan bahan terlarang jenis syabu/methamphetamine; serbuk ecstasy (2.15 kg), ketamine (1.59 kg), ganja (1.29 kg) dan ketum (0.75 kg). Manakala bagi pil, 575 biji adalah pil eramin 5 dan 266 biji pil ecstasy.

Mengulas lanjut, Fatimah memberitahu hasil operasi tersebut berjaya merekodkan sebanyak 3,067 tangkapan dengan 207 orang terlibat dalam pengedaran, 672 memiliki dadah dan 2,188 adalah individu yang disaring positif urin.

Suara Sarawak