Sarawak rekod 47 kematian akibat rabies

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 47 kematian akibat virus rabies daripada sejumlah 53 kes jangkitan dalam kalangan manusia sejak wabak tersebut menyerang negeri ini pada Julai 2017.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi berkata, jumlah tersebut termasuk lapan kes kematian yang dilaporkan pada tahun ini.

“Ia merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi sistem saraf dan otak seseorang.
Apabila dijangkiti, peluang untuk individu sembuh sepenuhnya adalah tipis, malah lebih berisiko membawa kematian.

“Namun, saya yakin virus rabies ini mampu dikawal dengan pemberian vaksin yang konsisten sama seperi ketika kita memerangi COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, persidangan yang julung kali diadakan dan disertai para pakar dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia itu adalah tepat pada masanya selepas dua tahun memerangi COVID-19.

“Dalam tempoh dua tahun tersebut juga Sarawak turut berdepan cabaran dalam usaha mengekang wabak rabies.

“Oleh itu, persidangan ini amat penting kerana wabak tersebut tidak dapat diperangi sendirian, ia memerlukan kerjasama semua pihak khususnya dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pembasmian rabies,” tegasnya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sejumlah RM7.07 juta di bawah Pelan Tindakan Program Kawalan dan Penghapusan Rabies.

“Termasuk menubuhkan pasukan khas yang dinamakan ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) bagi mencegah pencerobohan rabies di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan yang menjangkau lebih 1,200 kilometer,” katanya lagi.

Untuk rekod, dianggarkan sekurang-kurangnya 59,000 kematian akibat rabies dalam kalangan manusia berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

 

Suara Sarawak