BINTULU: Jumlah perwakilan Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dikurangkan dan mesti berkadar, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, meskipun komposisi Ahli Parlimen bagi Sarawak dan Sabah tidak dinyatakan secara jelas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 telah memberi jaminan bahawa kepentingan wilayah-wilayah ini akan dilindungi pada setiap masa.

“Beberapa hak kita telah terhakis sejak 59 tahun lalu kerana tidak mempunyai kuasa untuk membantah secara berkesan di Parlimen terhadap undang-undang yang sama ada secara tidak sengaja atau sengaja digubal untuk melanggar hak kita.

Abang Johari (tiga kanan) dan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (dua kanan) merasmikan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat negeri bertempat di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

“Kita hanya mahukan hak dikembalikan, tidak kurang lagi. Sarawak dan Sabah perlu memastikan hak dan keistimewaan kita di Parlimen sentiasa dilindungi dan dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak bertempat di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam tadi.

Menurut Abang Jo, pada masa ini, terdapat ketidakseimbangan yang tidak sihat di Parlimen kerana Sarawak dan Sabah hanya mempunyai sejumlah 56 kerusi atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia.

“Walaupun jumlah penduduk Sarawak kecil, saya percaya ia boleh dilakukan supaya kita mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen kerana pembentukan kawasan pilihan raya bukan semata-mata berdasarkan saiz penduduk,” ujarnya.

Abang Johari berkata banyak perkara lain termasuk isu berkaitan kesihatan di Sarawak dan Sabah turut dibangkitkan dalam mesyuarat Mesyuarat Majlis Khas Mengenai MA63.

“Di Sarawak, bukan sahaja beberapa sekolah dalam keadaan daif, malah terdapat juga banyak klinik kesihatan usang di kawasan luar bandar yang perlu dinaik taraf atau dibina semula.

Barisan dif kenamaan yang hadir sempena sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat negeri di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

“Justeru, diharap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian sewajarnya terhadap isu kesihatan di sini dan menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menaik taraf kemudahan kesihatan supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” tegasnya.

Lebih 5,000 masyarakat berbilang kaum, agama, latar belakang dan budaya membanjiri tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu untuk memeriahkan serta menyaksikan sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Suara Sarawak