Sarawak sedia tambah PPS sekiranya berlaku kejadian banjir luar biasa

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bersedia untuk mengaktifkan lebih banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tidak menjadi masalah jika lebih banyak PPS diperlukan kelak selain daripada 627 PPS yang diwartakan sebelum ini.

“Sekiranya berlaku bencana banjir di luar jangkaan terutamanya melibatkan kawasan yang tidak pernah banjir, kita juga akan mewujudkan PPS baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Latih Amal dan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan, dekat sini, hari ini.

Fatimah menambah pegawai daerah yang bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan mencadangkan lokasi PPS ditubuhkan dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk kelulusan.

“Untuk itu, pegawai daerah tidak boleh mengambil cuti sepanjang tempoh banjir.  Mereka perlu sentiasa bersiap siaga kerana kita akan lebih berjaga-jaga sekiranya berlaku situasi banjir yang tidak dijangka,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Fatimah memberitahu JKMS juga telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak yang mempunyai kapasiti menempatkan 162,091 mangsa banjir.

RAKAMAN KENANGAN… Fatimah merakam gambar kenangan bersama-sama kakitangan agensi yang terlibat.

Suara Sarawak