KUCHING: Terdapat dua hingga tiga baki tuntutan perkara oleh Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam perbincangan melalui Mesyuarat Majlis Khas Mengenai MA63.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua perkara terbabit masih dalam rundingan kedua-dua pihak antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

“Selain daripada apa yang telah berjaya diperoleh melalui perbincangan, masih lagi terdapat dua atau tiga perkara yang dalam perbincangan untuk kita terus mempertahankan keistimewaan yang ada pada Sarawak melalui MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di BCCK pada malam tadi.

Menurutnya, ia termasuk tuntutan untuk mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang secara prinsip telah dipersetujui pada mesyuarat MA63 baru-baru ini.

“Tetapi ia perlu dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Kabinet Persekutuan dan jika mereka bersetuju, tindakan selanjutnya akan diambil,” ujarnya.

Tambahnya, antara perkara lain pula termasuk hak-hak yang termaktub di bawah MA63 dan IGC seperti penurunan kuasa pentadbiran dalam hal berkaitan kesihatan dan pendidikan.

“Walaupun ketika ini kesihatan berada di bawah kerajaan pusat, kami memerlukan kuasa autonomi tertentu untuk Kerajaan Sarawak menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan dengan lebih baik. Ini juga termasuk pendidikan,” jelasnya.

Untuk rekod pada Mei lalu, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memberitahu empat tuntutan yang telah diselesaikan termasuk persetujuan rundingan melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA), pengiktirafan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, pengiktirafan untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak serta pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.

Suara Sarawak