Gambar hiasan

DALAM beberapa minggu yang lalu, kita banyak dengar kejadian banjir berlaku.

Bukan sahaja di Sarawak, tetapi di seluruh negeri dalam Malaysia turut mengalami situasi yang sama.

Bagaimana banjir boleh berlaku?

Dalam kebanyakan kes yang biasa, banjir berlaku akibat hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan paras air di dalam sungai menaik.

Apabila ia berlaku, mereka yang tinggal di kawasan rendah pasti mengalaminya dahulu kerana air memenuhi ruang tersebut, diikuti keluarga yang tinggal di kawasan rumah tinggi.

Keadaan banjir ini sememangnya tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi ketentuan-Nya.

Bagaimanapun, kita boleh berusaha untuk melengahkan sedikit tahap kenaikan air melalui sistem perparitan.

Keadaan banjir boleh diperlahankan sekiranya sistem perparitan baik dan berkesan. Jika sistem tersebut bermasalah, ia pasti menyebabkan kejadian banjir berlaku dengan lebih cepat.

Selain itu, terdapat juga faktor lain yang boleh menyebabkan kejadian banjir berlaku seperti kerosakan pada empangan air, hakisan tebingan sungai, perhutanan dan sebagainya.

Oleh itu, setiap seorang disarankan untuk sentiasa bersedia berdepan dengan segala kemungkinan yang dijangka berlaku dalam masa terdekat, susulan cuaca hujan yang kerap berlaku.

Kejadian tersebut sememangnya tidak dapat diramal kerana air boleh naik sekelip mata, justeru kita perlu ‘sediakan payung sebelum hujan’, agar tidak terlalu parah apabila situasi tersebut berlaku.

Utamakan perkara yang penting seperti nyawa masing-masing, dokumen peribadi dan bendabenda lain yang diperlukan bagi mengelakkan barang tersebut musnah ketika banjir.

Simpan di tempat yang tinggi dan balut dengan objek kalis air agar tidak hilang, basah dan rosak apabila dilanda banjir.

Usaha-usaha ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah yang dihadapi.

Pastikan keadaan diri serta keluarga terurus sepenuhnya, kemudian barulah kita keluar untuk membantu jiran tetangga yang memerlukan bantuan.

Kita perlu bekerjasama agar tidak berlaku panik dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, orang ramai juga perlu peka dengan segala pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak pengkaji cuaca dan sebagainya agar mengetahui keadaan semasa di kawasan masing-masing.

Sebagai contoh, baru-baru ini pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenal pasti beberapa daerah di Selangor sebagai lokasi berpotensi tinggi untuk berlakunya banjir.

Apabila dapat tahu bahawa keadaan sedemikian akan berlaku, sekurang-kurangnya kita boleh membuat persediaan yang sepatutnya dalam tempoh tersebut.

Semua langkah-langkah awal penting kerana ia dapat membendung perkara tidak diingini daripada berlaku.

Berikut merupakan langkah yang boleh dilakukan di peringkat masyarakat setempat sekiranya berlaku banjir.

Di peringkat pihak penyelamat pula, tanggungjawab turut dijalankan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Datuk Khirudin Drahman memberitahu bahawa segala pegawai dan aset yang berkaitan sudah digerakkan di bawah program Monsun Timur Laut (MTL) bagi persediaan berdepan bencana banjir.

Menurutnya, semua pihak perlu berwaspada kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dan perubahan musim yang tidak dapat dijangka boleh menyebabkan apaapa berlaku bila-bila masa.

“Kita sudah gerakan apa-apa yang diperlukan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi banjir di negeri ini.

Hal ini kerana, secara sedar atau tidak sedar, banjir boleh berlaku sekelip mata,” katanya.

Beliau turut menegaskan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih kepada orang ramai bagi mengelakkan berlakunya panik dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, pihak berkaitan juga akan bertumpu kepada kawasan-kawasan berkenaan bagi memastikan bantuan dari aspek mengendalikan bencana, memindah mangsa dan menyelamatkan harta benda berjalan lancar.

Semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.

Wujudnya hubungan yang kukuh dan sikap bersatu-padu dalam kalangan masyarakat juga mendorong kepada kejayaan untuk proses bantuan disalurkan dengan lancar.

Suara Sarawak