MIRI: Kira-kira 127 kontinjen terdiri daripada 7,600 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam perhimpunan dan perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Miri, pada 10 Oktober ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata perarakan yang diadakan semula selepas pandemik itu akan bermula dari Stadium Miri pada jam 8 pagi.

“Peserta akan berarak melalui Stadium Miri menuju ke Jalan Bintang, Jalan Merdu, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Nakhoda Gampar, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati, Bulatan Kipas, Jalan Bintang dan kemudian kembali semula ke stadium,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Dr Abdul Rahman (tengah) ditemani Khalidi (kiri) dan Misnu (kanan) ketika sidang media sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Miri, pada 10 Oktober depan.

Dr Abdul Rahman berkata, tujuan sambutan itu diadakan bagi memperingati kembali peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW selain mengukuhkan perpaduan dan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Beliau turut menggalakkan orang ramai termasuk masyarakat bukan Islam untuk memberi sokongan, serta mengambil bahagian dalam program tersebut.

Dalam pada itu, kontinjen yang menang dalam perarakan itu akan menerima RM3,000, sementara naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000. Sementara, keduduka keempat dan kelima akan menerima RM800 dan RM500 selain trofi dan sijil.

Majlis ini dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.

Suara Sarawak