KUCHING: Pembukaan sekolah antarabangsa pertama di Petra Jaya, Kuching yang beroperasi tahun ini telah menerima masuk seramai 120 orang murid.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah kemasukan terhad murid bagi fasa pertama diambil kira berikutan sekolah terbabit masih mengalami kekurangan fasiliti.

“Bangunan sudah ada namun terdapat beberapa fasiliti yang masih tidak mencukupi jadi buat masa ini kita hanya dapat mengambil seramai 120 murid sahaja.

“Ini kerana kekangan asrama yang tidak mencukupi untuk permulaan kumpulan pertama yang sudah bermula tahun ini,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan penubuhan sekolah antarabangsa di Sarawak di Dewan Masyarakat Tapah, hari ini.

Beliau menambah, sebuah lagi sekolah antarabangsa yang terletak di Batu 12, Kuching kini sedang dalam pembinaan.

BERCAKAP…Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn

Manakala tiga lagi tapak pembangunan sekolah antarabangsa yang baharu dalam proses mengenal pasti tapak masing-masing di Sibu, Bintulu dan juga Miri.

“Progres (jangkaan siap sekolah antarabangsa) bergantung kepada berapa lama penyelesaian mengenal pasti tapak dan pembinaan bangunan.

“Sekurang-kurangnya mungkin di antara dua ke lima tahun, ini kerana  pembinaan bangunan bukan kerja mudah yang dapat disiapkan dalam beberapa hari sahaja, ia pasti mengambil masa,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Roland memberitahu tenaga pengajar bagi sekolah tersebut sudah disediakan oleh Jawatankuasa pendidikan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

“Tenaga pengajar memang dah bersedia dan sudah ditemu bual oleh jawatankuasa pendidikan yang telah dilantik untuk melaksanakan perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Roland hadir bagi menyempurnakan pelancaran Pameran Pendidikan dan Kerjaya di Dewan Masyarakat Tapah anjuran pertama Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan (MITRED) tahun ini.

Suara Sarawak