KUCHING: Polis menahan seorang lagi suspek berkaitan kes kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijual bapanya untuk dirogol.

Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri mengesahkan tangkapan suspek yang berkait dengan kes tersebut, hari ini.

“Kes tersebut masih dalam siasatan, kita telah menangkap bapanya pada Rabu yang masih dalam reman lima hari.

“Kita juga menangkap seorang lagi suspek untuk membantu siasatann semalam,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut berhubung kes tersebut kerana masih dalam siasatan.

Terdahulu, seorang lelaki berumur 45 tahun ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret pada Rabu kerana dituduh menjual anak perempuannya kepada rakannya untuk aktiviti seksual.

Suspek ditahan di Matang pada selasa kira-kira jam 2 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.

Suara Sarawak