Seorang mangsa bot karam Mukah belum dijumpai

MUKAH: Seramai 10 mangsa bot karam di perairan Mukah berjaya dijumpai, manakala seorang lagi masih belum ditemui setakat jam 5 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, lapan daripada mangsa terlibat masih hidup, manakala dua lagi sudah meninggal dunia.

“Mangsa-mangsa yang selamat adalah, Wong Chiang Hie (pemancing), Lingsan Spawi (kru), Anuar Spawi (kru), Lewis Yung Koh Ing (pemancing), Chieng Hock Hung (pemancing), Wang Ting Ping (pemancing), Chong Fei Foo (pemancing) dan Lee Sie Soon (pemancing).

“Manakala mangsa yang meninggal adalah Sabli Jun (tekong) dan Wong Siaw Tiang (pemancing).

“Untuk tempoh ini mangsa yang masih gagal dijumpai adalah Wong Ikkong (pemancing) dan semua mangsa adalah lelaki dan warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi semua mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, terdahulu Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching telah mengetuai Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ke atas sebuah bot yang membawa 11 penumpang termasuk tekong dan pemancing yang karam di perairan Mukah pada 20 September lalu, sekitar jam 8.30 malam di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah.

“Pada jam 8.40 pagi, Khamis, empat mangsa yang hilang selamat dijumpai oleh bot nelayan di dalam kawasan sekitar pencarian, dipercayai ditolak oleh arus sehingga ke pesisir pantai.

“Pada jam 10.30 pagi, satu mayat dijumpai oleh bot pemancing HIMAJAYA. Manakala MT CAPELLA yang membawa dua mangsa yang selamat semalam tiba di Terminal Senari, Kuching Sarawak pada jam 11.12 pagi tadi.

“Diikuti pada jam 11.20 pagi, dua mangsa selamat dijumpai oleh bot pemancing HIMAJAYA dan yang terakhir pada jam 12.30 tengah hari, satu mayat dijumpai oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya lagi.

Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi. Cuaca di lokasi kejadian pada hari ini ombak dianggarkan 1.0 hingga 1.5 meter manakala angin bertiup dari Tenggara berkalajuan 20 hingga 30 kilometer per jam.

Operasi ditangguhkan pada jam 5.15 petang tadi dan akan operasi disambung esok hari.

Suara Sarawak