Seorang maut, dua selamat dalam kemalangan kendiri

KUCHING: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah dan seorang cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Batu Kitang, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 1.17 pagi dan segera mengerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi.

Katanya setiba di lokasi, komander operasi melaporkan dua orang mangsa masih tersepit di dalam kenderaan manakala seorang mangsa berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan pihak bomba.

“Pihak bomba bertindak memotong pintu bahagian penumpang hadapan untuk mengeluarkan mangsa pertama menggunakan peralatan khas sebelum mangsa pertama dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan jentera EMRS.

“Kaedah sama turut digunakan untuk mengeluarkan mangsa kedua di bahagian tempat duduk pemandu namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Suara Sarawak