BINTULU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sawit 10 tan di Batu 8, Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.12 pagi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda terbabit menggunakan peralatan penyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda dan lori sawit yang terlibat dalam kemalangan di Batu 8 Jalan Pan Borneo Bintulu- Miri, awal pagi tadi.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Alexander Adolf Anyi Chua Heng Chai berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

“Sementara, rakannya, Kennedy Beru, 21, mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) untuk tindakan lanjut.

“Manakala, pemandu dan kelindan lori sawit pula hanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.20 pagi.

Suara Sarawak