Seorang parah, empat cedera ringan kemalangan di Jalan Sibu- Bintulu

SELANGAU: Seorang parah, manakala empat lagi  cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Pasai, Jalan Sibu- Bintulu, dekat sini, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.27 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian,  komander operasi melapor kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan kereta Proton Saga dan sebuah kereta Proton Wira.

“Anggota kami mendapati terdapat seorang mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan Proton Saga mengalami cedera parah. Namun mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Manakala, empat orang mangsa di dalam kenderaan Proton Wira mengalami cedera ringan,” katanya. 

Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Bomba, tambahnya, melakukan pembersihan serpihan kemalangan di jalan raya bagi mengelakkan sebarang risiko dan bahaya kepada pengguna jalan raya lain. 

Setelah mendapati keadaan selamat serta terkawal, anggota berangkat balik ke balai. 

Operasi ditamatkan pada jam 10:30 pagi.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di Kampung Pasai, Jalan Sibu-Bintulu, dekat Selangau.

Suara Sarawak