SEPAK TAKRAW PIALA SARAWAK 2022   11 bahagian bersaing

KUCHING: Sebelas pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2022 akan berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman bermula dari 29 September hingga 2 Oktober.

Setiap pasukan akan mewakili setiap bahagian di negeri ini bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,000.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi berkata empat kategori dipertandingkan iaitu berpasukan, regu terbuka, regu belia bawah 19 tahun dan regu wanita bawah 19 tahun.

“Juara kategori berpasukan akan menerima wang tunai RM4,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala naib juara akan membawa pulang wang tunai RM3,000 termasuk piala dan pingat.

“Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir pula masing-masing menerima wang tunai RM1,500 serta piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama,” katanya sambil menambah wang tunai RM500 turut diberikan untuk empat lagi pasukan yang tewas di peringkat suku akhir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Piala Pusingan (Piala Sarawak) di Pejabat PEKEMA hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor selaku penaung Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA).

Bagi kategori regu terbuka pula, Ismail berkata juara akan menerima hadiah wang tunai RM1,500 beserta piala dan pingat manakala naib juara menerima RM1,000, piala dan pingat.

Tambahnya dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Dalam pada itu, Ismail berkata juara kategori regu belia bawah 19 tahun akan menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat manakala naib juara akan menerima wang tunai RM750, piala dan pingat.

Sementara, wang tunai RM500, piala dan pingat untuk dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Pasukan yang menjuarai regu wanita pula akan menerima wang tunai RM500, piala dan pingat, selain wang tunai RM300 dan RM200 termasuk piala dan pingat untuk pasukan di tempat kedua dan ketiga.

 

Suara Sarawak