KUCHING: Sempena kempen kesedaran kanser payudara, Hospital Umum Sarawak (HUS) akan menganjurkan ‘Pink Charity Run 2022’ pada 16 Oktober ini.

Larian yang bertemakan “Ketahui Lebih Banyak, Kurangkan Takut” itu bakal berlangsung di sekitar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini.

Bakal sempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah, larian tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu 3 kilometer (km) dan 5 km.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memberitahu, program tersebut untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya pengesanan awal kanser payu dara khususnya dalam kalangan wanita.

“Tiga peserta terbaik bagi kategori lelaki dan perempuan akan menerima hadiah khas berbentuk kemeja larian premium.

“Program tersebut turut akan diserikan dengan aktiviti-aktiviti sampingan seperti zumba dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk basikal, produk Tupperware dan jam tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, JKNS menjemput orang ramai untuk menyertai dan memeriahkan program larian amal ini.

“Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang https://pinkcharityrun.eventsarawak.com atau menghubungi talian 010-5912387 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” tambahnya.

Suara Sarawak