KUCHING: Seramai 3,000 warga emas akan terlibat dalam aktiviti senamrobik pada program ‘Kita Bersatu dalam Kesihatan’ sempena Sambutan Hari Warga Emas (HWE) Peringkat Negeri Sarawak 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program yang bakal diadakan pada 1 Oktober ini juga berlangsung serentak di 12 bahagian di Sarawak sekali gus akan dinobatkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

“Sudah pasti kita mengharapkan lebih ramai penyertaan kelak bahkan lebih daripada 3,000 orang. Persediaan juga telah dimulakan,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Warga Emas Sarawak 2022, di Bangunan Baitulmakmur 2, dekat sini, hari ini.

Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Warga Emas Sarawak 2022 di Bangunan Baitulmakmur 2, di Kuching, hari ini.

Menurutnya, sambutan dengan tema “Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas” itu akan diadakan di NAIM Bintulu Paragon Street Mall, Bintulu.

Tambahnya, program itu akan melibatkan peserta dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dari seluruh Sarawak.

“Ia juga merupakan pengisian utama sambutan HWE pada tahun ini,” ujarnya.

Orang ramai khususnya warga emas amat digalakkan untuk menyertai dan tidak melepaskan peluang berkunjung ke program yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik itu kelak.

Suara Sarawak