KUCHING: Inisiatif masyarakat Iban merekod, menyimpan dan mendokumentarikan festival Gawai Antu secara digital harus dicontohi oleh pelbagai etnik lain yang terdapat di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting bagi mengekalkan warisan budaya mereka dengan serius untuk tatapan generasi akan datang.

“Usaha besar dengan merekod dan menyimpan adat warisan secara digital ini membolehnya diambil semula untuk tontonan mahupun tujuan lain pada masa akan datang,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dokumentari Gawai Antu Rumah Panjang Gensurai Layar Betong di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.

Menurutnya, dokumentari tersebut merupakan usaha teladan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sekeluarga agar sambutan tersebut dapat dipelihara dalam medium yang boleh ditonton oleh generasi muda masyarakat Iban dan orang luar.

Abang Johari menerima cenderamata daripada Alfred Jabu selepas Pelancaran Dokumentari Gawai Antu Rumah Panjang Gensurai Layar Betong di Muzium Budaya Borneo, di Kuching, hari ini.

“Ia juga menyediakan satu medium penting untuk mempamerkan aspek sosiobudaya Sarawak yang pelbagai untuk dikongsi dan dihayati oleh masyarakat luar.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah kemeriahan sambutan ini menjadi platform yang berkesan untuk interaksi antara budaya apabila masyarakat dari rumah panjang dan tempat lain, termasuk dari luar negara, turut menyertainya.

“Malah perayaan unik ini merupakan hubungan penting bagi menyediakan saluran untuk pendidikan budaya untuk rakan-rakan kita dari luar negara,” tegasnya.

Sambutan Gawai Antu yang berlangsung pada 22 Disember 2018 itu lazimnya diadakan oleh masyarakat tempatan dalam tempoh 20 ke 25 tahun sekali kerana ia memerlukan persiapan yang rapi.

Perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia itu diadakan oleh saudara-mara yang masih hidup bagi memberikan penghargaan dan penghormatan tertinggi atas jasa baik yang telah dilakukan oleh nenek moyang dan ahli keluarga mereka.

Suara Sarawak