SERIAN: Ibu bapa yang mempunyai anak-anak di Sekolah Kurang Murid (SKM) diminta agar memberikan sokongan kepada usaha kerajaan menubuhkan sekolah berpusat di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha penggabungan beberapa SKM menjadi sebuah sekolah berpusat baharu itu adalah demi kepentingan dan manfaat para pelajar.

“Semua ini dilakukan supaya kita dapat membina sekolah baharu yang dilengkapi dengan kemudahan selain memberi peluang meningkatkan kemahiran pembelajaran kepada anak-anak kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah Saringan Kesihatan Percuma di Dewan Kampung Gayu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini penggabungan SKM di Sarawak terutama melibatkan sekolah di kawasan luar bandar.

Tambah beliau lagi, kerajaan merancang untuk membina sekolah berpusat tersebut yang akan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti termasuk kawasan kediaman pelajar, dewan makan, bilik kelas dan sebagainya.

SARINGAN KESIHATAN… Roland turut mengambil peluang menjalani saringan kesihatan percuma pada Program Jelajah Saringan Kesihatan Percuma di Dewan Kampung Gayu.

Dalam pada itu katanya, kebanyakan SKM di kawasan pedalaman adalah disebabkan ramai penduduk berhijrah ke bandar menyebabkan golongan muda semakin berkurangan di kampung.

“Justeru diharapkan agar ibu bapa dapat menerima nasihat kita untuk menggabungkan sekolah-sekolah SKM menjadi sebuah sekolah yang baharu demi keselesaan anak-anak mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Sagah memaklumkan sebanyak 263 sekolah yang telah dikenal pasti sebagai SKM oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak boleh digabungkan menjadi 49 sekolah berpusat.

Bagaimanapun katanya, rancangan untuk menubuhkan sekolah berpusat masih belum dapat dilaksanakan ekoran ramai ibu bapa tidak bersetuju dengan idea berkenaan.

Suara Sarawak