MIRI: Taktik menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan rokok dan minuman keras seludup di sini terbongkar apabila berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata kegiatan itu terbongkar dalam operasi khas ke atas premis terbabit yang dijalankan oleh sepasukan anggota JKDM Sarawak daripada Bahagian Penguatkuasaan, Kuching dan Cawangan Penguatkuasaan, Miri kira-kira jam 1.30 petang 4 September lalu.

Katanya operasi dilakukan berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi daripada aduan awam mengenai sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok dan minuman keras sebelum barangan itu diedarkan di sekitar bandar raya Miri.

“Pemeriksaan rapi ke atas stor terbabit telah membawa kepada penemuan sebanyak 662,000 batang rokok putih, 90,000 batang rokok kretek dan 36 liter minuman keras dengan anggaran nilai sebanyak RM179,820 dan anggaran cukai sebanyak RM516,733.44.

Rokok dan minuman keras seludup yang dirampas oleh JKDM Sarawak, yang disimpan di dalam sebuah rumah di Miri.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua rokok dan minuman keras berkenaan belum lulus Kastam kerana tidak mempunyai setem cukai Kastam serta dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata kesemua barangan berkenaan telah dirampas untuk siasatan lanjut dan diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan, Miri untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya berdasarkan statistik tangkapan sepanjang tahun 2022, JKDM Sarawak telah merampas sebanyak 9,926,756 batang rokok dan 27,437.74 liter minuman keras dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM2,237,292.30 yang melibatkan cukai sebanyak RM7,251,475.13.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Katanya orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Suara Sarawak