KUCHING: Bonus sebulan gaji kepada penjawat awam termasuk para guru akan menjadi pembakar semangat kepada warga pendidik untuk terus berusaha memartabatkan kualiti pendidikan negara.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, pihaknya amat menyokong cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu memandangkan sudah begitu lama penjawat awam tidak diberikan bonus sebulan gaji.

“Kami faham cadangan tersebut akan melibatkan jumlah kewangan yang besar, namun kerajaan juga harus bersimpati dengan penjawat awam yang merupakan nadi utama pentadbiran negara.

Kullin Djayang

“Pemberian bonus ini sedikit sebanyak adalah sebagai pembakar semangat agar para pendidik akan terus berusaha memartabatkan kualiti pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, bonus sebulan gaji kepada para pendidik boleh dibayar dalam beberapa fasa berdasarkan kemampuan kerajaan.

“Yang penting, jumlahnya bonus tersebut tetap sebulan gaji kerana selama ini kami hanya mendapat Bantuan Khas Kewangan (BKK),” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Cuepacs yang memohon kerajaan mempertimbangkan bonus, sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam dalam Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perkara itu perlu menjadi antara fokus dalam bajet untuk tahun depan memandangkan keadaan penjawat awam juga sedang berdepan beban kenaikan harga barang makanan, malah sudah 11 tahun tidak diberikan insentif berkenaan.

Suara Sarawak