KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) tidak berupaya mengekang kehebatan Kuala Lumpur City FC selepas diaibkan dengan kekalahan besar (5-0) pada perlawanan Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Bintang sensasi tuan rumah, Lambert Ryan Edward Lee Kit Seng antara watak yang mencuri tumpuan apabila meledak tiga gol pada minit ke-24, 36 dan 53.

Manakala, Paulo Josue Sturmer Dos Reis dan Jordan Owasu Mintah masing-masing menjaringkan satu gol minit ke-22 dan 85.

Ia merupakan kekalahan kali ke-13 buat anak didik S. Balachandran musim ini, sekali gus mengekalkan mereka di kedudukan ke-11 dengan menggumpul 14 mata selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.

“Kita gagal untuk cuba membawa pulang sebarang mata daripada perlawanan malam tadi.

“Memang kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menembusi gawang lawan,” jelas Bala kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau secara peribadi kegum dengan semangat juang dipamerkan barisan pemainnya sepanjang perlawanan.

Tegas Bala, pemainnya telah memberikan persembahan terbaik pada perlawanan malam tadi.

Cuma keputusan lebih memihak kepada tuan rumah untuk beroleh tiga mata.

Sarawak United akan menentang Sri Pahang FC di Stadium Negeri, Petra Jaya Sabtu ini.

Suara Sarawak