KUCHING: Sepasang suami isteri ditahan kerana melanggar dua lelaki yang menaiki motosikal dalam satu kejadian di Jalan Semarak, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 5.20 petang, mangsa mengalami kecederaan ringan akibat ditampar suspek.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 29 tahun yang menaiki sebuah kereta Perodua ketika kejadian ditahan empat jam selepas itu.

“Hasil semakan mendapati si suami mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

“Manakala isterinya memiliki tiga rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, reman terhadap kedua-dua suspek telah diperoleh sehingga 17 September depan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dengan berhenti di tengah jalan kerana boleh merbahayakan diri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan terus dengan menghubungi pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.

Suara Sarawak