Suami ugut bunuh, cemburu isteri keluar bekerja

KUCHING: Gara-gara cemburu buta dan enggan menyuruh isterinya turun bekerja, seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan ugut bunuh.

Tertuduh Caston Singor, 39, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan bunuh terhadap mangsa berusia 35 tahun di pondok pengawal keselamatan Klinik Siburan, Jalan Kuching-Serian, kira-kira jam 5.30 petang, 24 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, suami pengadu datang memaksanya pulang ke rumah.
Namun, pengadu enggan berbuat demikian kerana bimbang akan dipukul.

Tertuduh juga menggeluarkan kata-kata ugut bunuh berbunyi ‘jaga kamu, kalau kamu tidak balik aku bunuh nanti, siap kamu!’.

Punca kejadian kerana tertuduh cemburu mangsa pergi bekerja dan marah kerana enggan disuruh pulang ke rumah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak