UNTUK SARAWAK…Muhd. Aiman Hamdan (kiri) dan Jimmy Liong Kai Long (kanan).

KUALA LUMPUR: Acara tenis berjaya menambah koleksi pingat emas buat kontinjen Sarawak pada hari kedua terakhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.

Gandingan Muhd. Aiman Hamdan dan Jimmy Liong Kai Long mudah mengatasi pencabar dari Selangor yang juga pasangan pilihan, Muhd. Syabil dan Muhd Nur Iman dengan kemenangan bergaya (6-2, 6-4) pada aksi final kategori bergu lelaki yang berlangsung di Kompleks Sukan Jalan Duta, hari ini.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew nyata gembira dengan kejayaan para pemainnya yang berjaya memperoleh pingat emas.

“Gembira kerana kita berjaya mendapat pingat emas. Syabas buat kedua-dua pemain yang telah mempamer permainan yang cukup hebat,” ujar beliau ketika mengulas kejayaan pemainnya itu.

Katanya, kejayaan diperoleh kedua-dua pemain terbabit berkat daripada kerja keras mereka selama ini.

Turut sama berkongsi kejayaan kedua-dua pemain itu Penolong Ketua Kontinjen Sukma Sarawak, Micheal Tiang Ming Tee.

Suara Sarawak