MENANG….Owen Ting Shih Wee dan Wong Ling Ching bertempik kegembiraan sebaik memenangi perlawanan.

KUALA LUMPUR: Skuad badminton Sarawak akhirnya berjaya meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.

Ia hasil kejayaan dicipta gandingan Owen Ting Shih Wee dan Wong Ling Ching yang memenangi pingat gangsa acara beregu campuran menumpaskan pasangan dari Melaka, Tan Kok Xian dan Yap Ling 2-1 (21-12, 19-21, 21-17) pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kejayaan dilakar kedua-dua pemain itu menamatkan penantian selama tiga puluh tahun untuk Sarawak memenangi pingat dalam kejohanan dwitahunan negara itu.

“Cukup gembira walaupun kami hanya berjaya meraih pingat gangsa.

“Memang agak gugup pada awal saingan tetapi saya berjaya mengatasi tekanan tersebut,” kata Owen ketika ditemui selesai perlawanan.

Menurut Owen, penamat yang cukup baik bagi dirinya kerana ini merupakan penampilan terakhir beliau dalam temasya Sukma.

Bagi Wong Ling, beliau turut gembira apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa untuk Sarawak.

“Kita diberi tentangan sengit pada set ketiga, namun berjaya memuktamadkan saingan dengan memastikan pingat gangsa untuk kami,” tegas Wong Ling.

Sementara Pengurus Pasukan, Ting Ching Zung juga menzahir rasa gembira dengan kejayaan kedua-dua pemain itu.

“Kejayaan dicipta kedua-dua pemain ini kerana mencipta fenomena baharu untuk sukan badminton Sarawak dalam temasya Sukma.

“Tahniah kepada Owen Ting dan Wong Ling kerana berjaya meraih pingat gangsa. Apa yang jelas, penantian selama tiga puluh tahun sudah berakhir,” tegasnya.

Suara Sarawak