SEDIA GEMPUR…Barisan pemain bersemangat ketika latihan sebagai persiapan menentang Melaka esok.

 

KUCHING: Skuad bola sepak Sarawak akan memulakan cabaran mereka dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Kuala Lumpur 2022 esok.

Anak-anak buah Safri Amit itu dijadual menentang Melaka untuk aksi pertama peringkat Kumpulan B di Padang Bola Sepak UNITEN jam 4.15 petang.

“Kita turun dengan satu misi iaitu memburu kemenangan pertama.

“Satu tugas yang mencabar bagi pemain namun, mereka sudah cukup bersedia,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Safri, mereka
tidak mengetahui kekuatan pasukan lawan, lantas turut memberi peringatan penting kepada pemain agar lebih berwaspada.

Bagaimanapun, katanya tiada strategi khas untuk diguna pakai oleh barisan kesebelasan utama bagi perlawanan esok.

“Apa yang pasti, saya akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik bagi aksi sulung petang ini,” jelas bekas penyerang Sarawak itu.

Suara Sarawak