SUPP Kuching buka Bilik Operasi PRU

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching membuka Bilik Operasi Pilihan Raya bermula hari ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi SUPP Cawangan Kuching, Datuk Lily Yong Lee Lee berkata pihaknya juga telah mengemukakan nama calon daripada cawangan itu untuk bertanding di Parlimen Bandar Kuching pada PRU-15.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama calon tersebut, sambil memberitahu nama calon itu telah diserahkan kepada Setiausaha Agung Pusat SUPP sejurus mesyuarat jawatankuasa SUPP Cawangan Kuching diadakan pada 18 September lalu.

“Calon yang dipilih bukan sahaja memenuhi kriteria cawangan dalam memantapkan anak muda, bertenaga dengan pengetahuan profesional dan pelbagai bahasa, tetapi juga perwatakan yang baik dan rekod perkhidmatan lama yang berdedikasi kepada rakyat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Bilik Operasi PRU-15 SUPP Bandar Kuching di SUPP Cawangan Kuching, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lily berharap agar ketiga-tiga cawangan SUPP daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Bandar Kuching iaitu Padungan, Pending dan Batu Lintang sepakat untuk menghantar calon yang boleh menang selain menyokong calon terpilih untuk memenangi pilihan raya.

“Tidak dinafikan untuk memenangi semula kerusi Parlimen Bandar Kuching pada PRU-15 adalah tugas berat bagi SUPP.

“Dengan pewartaan Rang Undang-Undang (RUU) Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, jumlah pengundi di kawasan Parlimen Bandar Kuching telah melonjak daripada sekitar 80,000 kepada kira-kira 110,000,” katanya.

Parlimen Bandar Kuching telah dikuasai oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak beberapa penggal yang lalu, dengan sekarang disandang oleh Dr Kelvin Yii selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14 yang lalu.

 

Suara Sarawak