MUSNAH… Kediaman yang dihuni enam sekeluarga yang tinggal tiang selepas ranap dalam kebakaran di Kampung Baru Darat, tengah hari tadi. Foto. OSMAN RAZALI

KABONG: Bapa dan emak bagaimana?

Itu ayat pertama yang keluar daripada mulut Haziq Hamizan Narawi, anak kepada pemilik kediaman di Kampung Baru Darat dekat sini yang musnah akibat kebakaran, tengah hari tadi.

Menurutnya yang juga staf Majlis Daerah Betong, dia menerima panggilan daripada abangnya kira-kira 12 tengah hari.

“Apabila saya jawab telefon, memang sudah terasa lain apabila mendengar bunyi situasi kelam-kabut di dalam talian.

“Lalu abang beritahu, rumah hangus. Soalan pertama yang keluar daripada mulut saya – bapa dan emak bagaimana?

“Ini kerana keadaan mereka tidak berapa berdaya. Alhamdulillah kesemuanya selamat dan saya terus bergegas pulang,” katanya kepada Suara Sarawak di lokasi kejadian, semalam.

Ditanya insiden pelik sebelum kejadian, pemuda 26 tahun itu mengakui sedang melakukan kerja di pejabat yang ada kaitannya dengan ‘rumah hangus’.

“Pagi ini saya rasakan masa terlalu panjang. Hari lain terasa sekejap sahaja.

“Dan hari ini saya menguruskan rekod hapus kira cukai – mengira rumah yang diberhentikan cukai akibat kebakaran.

“Langsung saya tidak menyangka, ketika mengira rumah orang lain hangus, tiba-tiba rumah sendiri yang terbakar. Saya tidak pasti semua ini alamat atau sebaliknya,” ceritanya.

Bagi isterinya Nisa Yusup, 25, yang menyaksikan kebakaran berlaku, menyatakan api begitu ganas.

“Lebih kurang lima minit api sudah merebak, terlalu cepat.

“Saya cuma sempat menyelamatkan bapa dan emak mentua, Narawi Wang dan Aminah Lehin yang tidak berdaya, anak saya Aulia Hazirah berusia setahun 11 bulan dan anak buah Wafiq Khalish, 5.

“Dokumen penting, keperluan harian dan perkakas rumah memang tidak sempat diselamatkan,” jelasnya yang mengakui api keluar dari dapur selepas selesai memasak.

Katanya, kedua-dua mentuanya terpaksa dikejarkan ke klinik untuk mendapatkan rawatan akibat sakit dada.

Sementara itu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang bergegas ke lokasi mengesahkan rumah jenis tidak kekal setingkat berkeluasan 30×60 kaki (rumah bertiang) terbakar 100 peratus.

Turut terjejas lima peratus adalah sebuah rumah dua tingkat.

Kebakaran berjaya dikawal pada 12.29 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya sekitar 1.03 tengah hari.

Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

HAZIQ HAMIZAN
MUSNAH… Kediaman yang dihuni enam sekeluarga yang tinggal tiang selepas ranap dalam kebakaran di Kampung Baru Darat, tengah hari tadi. Foto. OSMAN RAZALI

 

MUSNAH… Kediaman yang dihuni enam sekeluarga yang tinggal tiang selepas ranap dalam kebakaran di Kampung Baru Darat, tengah hari tadi. Foto. OSMAN RAZALI

Suara Sarawak