SIMBOLIK… Abang Johari (tengah) melakukan gimik Pemasyhuran Taman Geo Delta Sarawak disaksikan oleh Takiyuddin Hassan (tiga kiri), Awang Tengah Ali Hasan (tiga kiri) dan ahli kenamaan lain. FOTO : Ramidi Subari

KUCHING: Taman Geo Delta Sarawak disasarkan untuk mendapat pengiktirafan sebagai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Taman Geo Global dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ia sejajar dengan pemasyhuran kawasan yang berkeluasan 3,112 kilometer persegi (km2) itu sebagai taman geo kebangsaan yang keenam semalam.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan telah dipersetujui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, usaha tersebut amat dialu-alukan kerana Sarawak Delta adalah kawasan yang mempunyai warisan geologi, biologi dan budaya yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara mampan.

“Malah taman geo negeri ini mempunyai keistimewaan serta keunikan dari segi morfologi delta, dari lembangan Sungai Sarawak, landskap batuan, warisan biologi, warisan geologi, warisan budaya dan sebagainya.

“Terima kasih atas inisiatif pihak persekutuan kerana menyokong untuk mengiktiraf kawasan ini di bawah Unesco. Jika ia berjaya, sudah pasti kita dapat bersama berkongsi maklumat mengenai Taman Geo Delta Sarawak ini dengan seluruh masyarakat dunia khususnya dari segi pelancongan,” katanya pada pada Majlis Pemasyhuran Taman Geo Delta Sarawak, hari ini.

Dalam menyokong usaha tersebut, Abang Johari memberitahu Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha meningkatkan kemudahan serta pembangunan kawasan terbabit dari Kuching sehingga ke Sematan khususnya menaik taraf jaringan jalan raya.

Sementara itu Takiyuddin Hassan dalam ucapannya berkata pihaknya mahu Taman Geo Delta Sarawak diiktiraf di bawah Unesco dalam tempoh beberapa terdekat, selepas Kinabalu disenaraikan pada tahun ini.

“Saya percaya dan optimis, Sarawak Delta berupaya untuk mendapat pengiktirafan sebagai Taman Geo Global dalam masa beberapa tahun ini berdasarkan komitmen padu daripada kerajaan negeri serta tadbir urus yang jitu,” katanya.

Suara Sarawak