Teknologi jalur lebar satelit bagi lebih 600 kampung di Sarawak

KUCHING: Lebih 600 kampung di seluruh Sarawak akan disambungkan dengan capaian internet menjelang 2024 menggunakan teknologi jalur lebar satelit, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, kesemua kampung di Sarawak itu adalah terdiri daripada 1,400 kampung yang dikenal pasti di Sabah, termasuk pedalaman Kelantan dan Pahang yang masih belum lagi menikmati kemudahan internet.

“Kalau nak tunggu jaringan fiber optik, mungkin memakan masa 10 tahun.

“Saya fikir rakyat tidak harus menunggu begitu lama, jadi kita telah membuat tetapan di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 agar 1,400 kampung ini perlu disegerakan ketersambungan menggunakan teknologi satelit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia peringkat Sarawak kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak di IPG Kampus Batu Lintang, di sini hari ini.

Annuar berkata inisiatif itu akan dilaksanakan serta merta, dengan proses tender sedang disiapkan sekarang untuk ditender pada tahun ini dan mula dilaksanakan pada tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada salah seorang penerima sempena sesi pengagihan kepada pelajar IPG Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak di Kuching, hari ini.

Suara Sarawak