KUCHING: Lelaki warga emas dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh tahanan reman kerana menyebabkan kematian adik kandungnya, dalam kejadian pergaduhan di kediaman mereka di Jalan Landeh, Padawan pada 19 September lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan suspek berusia 60 tahun itu dibebas dengan jaminan polis.

Siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff memutuskan suspek dilepas tanpa dibebaskan setelah menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Pihak pendakwaan memohon agar suspek dilepas tanpa dibebaskan kerana pihak polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang melibatkan mangsa yang sama.

Reman bunuh: suspek (baju kelabu) berbincang dengan Peguam Bela Russell Lim di luar Mahkamah Sesyen hari ini.

Suspek diwakili peguam Russell Lim.

Menurut laporan media terdahulu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 49 tahun mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dipercayai dilibas menggunakan sabit semasa berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa di hadapan rumah mereka.

Semasa kejadian, mangsa telah datang ke rumah suspek dalam keadaan mabuk dan marah-marah dengan membawa senjata dipercayai sabit.

Mangsa dikatakan cuba menyerang suspek tetapi senjatanya berjaya dirampas oleh suspek.

Kemudian, suspek melibas kembali senjata terbabit lalu menyebabkan betis kiri mangsa cedera hingga mengalami banyak pendarahan.

Mangsa terus dikejar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

Suara Sarawak