Teruja lihat buaya hidup depan mata

KUCHING: Pengalaman mengunjungi Taman Buaya Jong di Siburan pasti akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Bagi Khursia atau nama sebenarnya Moriyama Kurumi ia merupakan pertama kali dia melihat reptilia itu secara langsung di depan mata.

Walaupun pernah tinggal di Kuala Lumpur semalam tiga tahun, namun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Borneo khususnya Sarawak.

Menurutnya, semasa lawatan taman buaya, dia bersama rakan lain berpeluang menyaksikan sesi memberi makan kepada buaya.

Malah turut didedahkan dengan alam semula jadi yang terdapat di Sarawak.

“Ia merupakan pengalaman yang baik dan sudah tentu tidak akan dilupakan kerana saya tidak pernah melihat buaya di depan mata, biasa kita tengok di televisyen atau gambar,” katanya.

Mengulas mengenai program Kembara Anak Samurai TUFS ke Sarawak, kata Khursia setakat hari ketiga berada di Kuching, mereka didedahkan dengan pelbagai budaya di Bumi Kenyalang.

Mengakui sedikit letih dengan jadual yang padat, namun kata Khursia ia amat menyeronokkan.

“Sepanjang tiga hari berada di sini, saya dan rakan-rakan berasa sangat gembira walaupun penat dengan jadual yang padat.

 “Tetapi layanan yang kami terima dari setiap orang di sini adalah sangat istimewa, kedatangan kami sangat dialukan.

“Saya sangat kagum dengan cara orang di sini, apabila saya lihat orang tua menghormati orang muda saya rasa sangat kagum, ia sedikit berbeza dengan budaya di Jepun.

“Semasa program semalam, banyak persembahan disajikan kepada kami, kalau di Jepun mungkin tiada persembahan pelancong atau pengunjung yang datang,” katanya.

Suara Sarawak