Tidak jemu tuntut ilmu

KUCHING: Usia bukan penghalang dalam menuntut ilmu, seperti kata pepatah ‘tuntutlah ilmu hingga ke negara China’ Walaupun dalam menimba ilmu itu banyak cabaran dan halangan, namun untuk menjadi insan berilmu, seseorang itu tidak harus berasa jemu dalam menuntut ilmu kerana ia proses kehidupan.

Itulah pegangan Matsumoto Tatsuo, 78, salah seorang pelajar senior dari Jabatan Bahasa Melayu Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (TUFS) yang menyertai Program Kembara Anak Samurai ke Sarawak.

Menurut bekas cikgu bahasa Inggeris dari Chiba, Jepun itu, beliau sudah lapan tahun belajar bahasa Melayu walaupun baginya ia agak sukar untuk dikuasai. 

Ujarnya yang minat belajar bahasa atau dikenali ‘linguaphile’ yang minat terhadap bahasa dan bercakap dalam pelbagai bahasa, beliau sudah mempelajari lima lagi bahasa negara lain. 

Antaranya bahasa Romania, Belanda, Itali, Sepanyol dan Bahasa Melayu. 

“Bagi saya, bahasa paling mudah untuk dipelajari ialah bahasa Romania, manakala paling susah ialah bahasa Belanda. 

“Dalam pada itu, bahasa Melayu juga payah untuk dikuasai kerana sukar untuk mendapatkan bahan rujukan seperti buku dan gajet bahasa ini,” ujarnya ketika ditemui pada Program Kembara Anak Samurai ke Sarawak di Kampung Santubong, malam kelmarin. 

Matsumoto atau nama Melayunya Mat, dalam pada itu menzahirkan keterujaan melawat Sarawak untuk pertama kali kerana keunikan yang terdapat di sini.

  “Masyarakat negeri ini sangat peramah dan mempunyai semangat perpaduan yang sangat tinggi walaupun hidup dalam berbilang kaum.

  “Saya kagum melihat budaya saling menghormati yang ditunjukkan mereka.

Dalam masa yang sama sangat tertarik dengan keindahan alam semula jadi di negeri ini yang masih terpelihara,” tambahnya.  Sementara itu, seorang lagi pelajar senior dari TUFS ialah Shimano Tokutaro, 75. 

TUFS memilih Sarawak sebagai destinasi pertama mereka untuk lawatan selama lima hari bermula 1 hingga 5 September sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Singapura yang berlangsung selama 17 hari keseluruhannya.

MATSUMOTO TATSUO

Suara Sarawak