KAPIT: Tiga lelaki meninggal dunia selepas lori simen yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Jalan Merit, di sini.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai George Wong, 33, Bunyau Manggie, 40, dan Steven Janggai Bungkang, 33.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 11.35 pagi hari ini.

Bagaimanapun, katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit terpaksa menggunakan dua buah pikap untuk pergi ke lokasi kejadian kerana jentera bomba tidak dapat melalui jalan balak.

“Mangsa dilaporkan tersepit. Kaedah yang digunakan oleh pasukan bomba iaitu sistem takal dan menggunakan peralatan menyelamat hidrolik untuk memotong bingkai cermin lori terbabit.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dibawa naik menggunakan kaedah ‘Basket Stretcher’ dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Jalan Merit, Kapit hari ini.

Suara Sarawak