BINTULU: Seorang lelaki warga asing disyaki tokan menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bintulu ditahan di kawasan jalan RPR Segawan, Sebauh, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata, polis turut merampas dua paket plastik lutsinar dan 15 keratan tiub straw berisi dadah jenis syabu dengan berat kasar 15 gram.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Tokan dadah yang ditahan 

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/1963 kerana kesalahan tiada memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini diseru untuk memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut,” tambahnya lagi.

dadah yang dirampas

Suara Sarawak