KUCHING: Polemik politik yang tidak beretika tidak harus dijadikan modal kempen pilihan raya, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Hal Ehwal Komunikasi, Penerangan Dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Menurutnya, perkara paling penting adalah memastikan pentadbiran kerajaan terus stabil dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Soal kebajikan rakyat juga perlu diutamakan dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Ini penting dalam memastikan rakyat tidak terus tertekan dengan krisis inflasi berikutan kenaikan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri bengkel Pemurnian Kamus Bahasa Melanau-Rajang di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Datuk Abdullah Saidol ketika ditemui pemberita.

“Kadang-kadang mereka (ahli politik) dalam keadaan terdesak sehingga menggunakan kaedah yang tidak beretika untuk berkempen sekali gus menimbulkan buruk sangka dan fitnah melampau.

“Kita tidak perlukan itu (fitnah), apa yang kita perlukan sekarang ialah sebuah negara yang kukuh supaya dapat memberi tumpuan dalam usaha memastikan rakyat dijaga, termasuk mengawal kos sara hidup,” ujarnya.

Menurut Abdullah, berdasarkan kajian pakar ekonomi, negara akan menghadapi situasi ekonomi tidak menentu pada tahun depan.

Justeru, katanya adalah lebih penting perkara itu diberi tumpuan dan keutamaan penuh di samping bermain politik.

“Dalam kedaaan begini, kerajaan perlu terus berusaha menangani masalah ekonomi. Kita tidak mahu lagi ada isu telur mahal, ayam mahal.

“Rakyat mahu pihak kerajaan memberi tumpuan ke arah itu dan menguruskan negara dengan baik,” tegasnya.

Ditanya sama ada keadaan sekarang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khususnya ketika perubahan monsun timur laut dan krisis ekonomi, kata Abdullah ia sukar untuk dinilai.

Menurutnya, segala keputusan diambil mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

“Malah sebelum ini banyak yang berpendapat bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak harus diadakan dalam keadaan pandemik COVID-19, tetapi semuanya berjalan dengan lancar kerana kadang-kadang kita tidak mempunyai pilihan,” katanya.

Suara Sarawak