KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM900 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menumbuk sepupu lelakinya.

Tertuduh Yaasin Dris, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 27 tahun di sebuah rumah, di sini, kira-kira jam 3 petang, 27 September lalu.

Mengikut pertuduhan, semasa kejadian, mangsa yang berada di ruang tamu rumah tiba-tiba didatangi tertuduh lalu menumbuk muka mangsa sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

Ekoran daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kiri.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan pengadu mengalami sedikit salah faham.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak