Ubah persepsi terhadap bidang pertanian

KUCHING: Masyarakat harus mengubah persepsi terhadap sektor pertanian dan tidak boleh lagi dilihat sebagai pekerjaan orang miskin, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pertanian adalah kerjaya dunia moden yang amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta menyokong usaha Sarawak menjadi pengeluar utama makanan negara menjelang 2030.

“Ia tidak boleh lagi dilihat sebagai pekerjaan orang miskin, dengan penduduk tempatan memakai topi dan membawa cangkul untuk menggali tanah di bawah matahari terik bersama ekspresi muka yang susah.

“Persepsi tersebut harus diubah kerana pertanian adalah industri yang amat penting khususnya dengan isu keselamatan makanan yang sedang dihadapi dunia masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Kongres Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan (COSAFS 2022) di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

“Pada masa kini anda boleh melihat para petani duduk di pejabat dan mereka mengawal serta menguruskan ladang melalui peranti digital dalam masa nyata. Ia merupakan cara maju ke hadapan.

“Kelebihan teknologi khususnya dengan Internet Pelbagai Benda (IoT) merupakan kunci utama yang telah terbukti berjaya membantu meningkatkan hasil pengeluaran. Ini yang banyak dilakukan di negara-negara maju.

“Oleh sebab itu juga, Kerajaan Sarawak memberikan penekanan terhadap permodenan pertanian termasuk menyediakan taman agro seperti taman industri yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur digital,” tegasnya.

 

Suara Sarawak