Gambar hiasan

KUCHING: Seorang wanita tempatan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menampar muka kenalan lelakinya dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Samarak.

Tertuduh Juliana, 29, dari Bau membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas satu pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Zubaidah menetapkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menampar muka mangsa yang berusia 21 tahun di persimpangan lampu isyarat Jalan Samarak, sekitar jam 5.19 petang, 12 September lepas.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal di lokasi kejadian dan tiba-tiba ditampar oleh seorang wanita yang dikenali yang juga sedang menunggang motosikal.

Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian kerana ada perselisihan faham di antara mereka.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak