Wanita dipenjara tujuh bulan kerana mencuri

KUCHING: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri seutas rantai emas, sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM41 milik seorang lelaki.

Tertuduh Zalbia Sulai, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan kes hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri barang-barang milik seorang lelaki berusia 55 tahun dalam bilik sebuah hotel bajet di Jalan Ban Hock, sekitar jam 11 pagi, 2 Januari 2021.

Menurut fakta kes, semasa kejadian mangsa telah datang ke sebuah hotel bajet untuk janji temu dengan tertuduh dalam sebuah bilik hotel berkenaan.

Wanita terbabit meminta mangsa mandi terlebih dahulu, namun dia enggan berbuat demikian.

Kemudian, tertuduh dan seorang rakan perempuannya yang tiba-tiba masuk ke bilik tersebut lalu menarik dan mengambil rantai emas, sebentuk cincin, telefon bimbit dan wang tunai RM41 milik mangsa sebelum keluar dari bilik hotel tersebut.

Selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 10 Januari 2021 di Jalan Market sekitar jam 10 pagi.

Hasil siasatan, tertuduh telah melakukan kesalahan terbabit melalui pengecaman wajah tertuduh pada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) oleh mangsa.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

 

Suara Sarawak