Anggota polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang rentung dalam kebakaran membabitkan rumah pekerja kilang papan lapis di Kawasan Perindustrian Kemena, awal pagi tadi.

BINTULU: Seorang wanita warga Indonesia berusia 24 tahun maut dalam kebakaran membabitkan rumah pekerja kilang papan lapis di Kawasan Perindustrian Kemena, kira-kira jam 2.42 pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Dilla itu ditemukan dalam keadaan rentung, di ruang tamu rumah pekerja berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.59 pagi tadi dan terus mengerahkan anggota ke lokasi kebakaran.

“Sebaik jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.11 pagi, didapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh penghuni serta pekerja kilang berkenaan mengguna sumber air paip,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya turut dimaklumkan terdapat seorang penghuni (mangsa) masih berada di dalam rumah pekerja terbabit.

Mayat wanita warga Indonesia yang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan rumah pekerja kilang papan lapis di Kawasan Perindustrian Kemena, awal pagi tadi.

“Difahamkan, rumah tersebut dihuni oleh tiga orang wanita termasuk mangsa, namun semasa kejadian dua rakannya sedang bekerja.

“Mayat wanita terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Suara Sarawak