KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana memiliki 5.51 gram dadah jenis Methamphetamine, April lalu.

Tertuduh Muksin, 26, pekerja ladang mengaku bersalah selepas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut 39A(1) akta yang sama, kerana memiliki 5.51 syabu.

Dia didakwa memiliki barang terlarang itu di sebuah rumah tidak bernombor, kebun durian Kampung Tematu, kira-kira jam 3 petang, 1 April lalu.

Dadah indon: Tertuduh (baju biru) dibawa keluar oleh anggota polis dari tahanan sementara mahkamah untuk dibawa ke Penjara Puncak Borneo.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Menurut fakta kes, pihak polis telah menangkap seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di kebun durian Kampung Tematu sekitar jam 3 petang, 1 April lalu kerana disyaki memiliki dadah.

Hasil pemeriksaan menjumpai 16 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dalam beg kecil milik tertuduh.

Barang-barang kes tersebut dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan kimia mengesahkan bahawa bahan tersebut mengandungi dadah syabu seberat 5.51 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak