KUCHING: Setelah dua bulan beroperasi, kegiatan satu sindiket perdagangan diesel seludup di sini akhirnya terbongkar apabila gudang penyimpanan bahan bakar itu di Jalan Stephen Yong, di sini diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Serbuan kira-kira jam 5.30 pagi itu dibuat hasil aduan orang awam dan risikan selama dua minggu, yang membawa kepada penemuan 34,000 liter diesel dengan anggaran nilai RM73,100 yang disimpan di dalam 34 tong.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Matthew Dominic Barin berkata serbuan turut berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 28 tahun di lokasi berkenaan, dipercayai pekerja sebuah syarikat yang hendak membeli diesel berkenaan dengan membawa sebuah lori tangki.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Matthew Dominic Barin bersama pegawai KPDNHEP Sarawak melihat diesel yang disimpan di dalam tong berkapasiti 1,000 liter di lokasi tangkapan di Jalan Stephen Yong, Kuching hari ini.

“Kami sedang mengesan pemilik diesel ini dan masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tangkapan berkenaan, hari ini.

Beliau menambah pasukan serbuan turut merampas sebuah lori tangki yang digunakan oleh kedua-dua lelaki terbabit, IBC Tank (Intermediate Bulk Containers) dan peralatan pam penyedut minyak.

Justeru, Matthew berkata kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961, menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan.

Katanya sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan
denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan.

Manakala jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara, Matthew berkata daripada 1 Januari sehingga 17 Oktober 2022, KPDNHEP Sarawak telah menghasilkan sebanyak 148 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sejumlah 1,382,860.65 liter diesel dengan nilai rampasan sebanyak RM5,836,857 manakala nilai kompaun telah dibayar sebanyak RM339,800 bagi 44 kes yang telah selesai.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000 ; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my ; Call Centre 1-800-886-800 emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDNHEP.

Suara Sarawak