KUCHING: Kira-kira 10,000 peserta melibatkan 10 negara menyertai acara larian Kuching Marathon 2022 yang berlangsung di dataran Padang Merdeka, seawal jam 1 pagi tadi.

Kemunculan semula acara antarabangsa itu selepas lebih dua tahun menyepi akibat pandemik Covid-19 masih mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat dalam dan luar Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah penyertaan acara larian tersebut menunjukkan peningkatan dengan seramai 713 peserta dari luar negara menyertai acara itu.

MULA…Para peserta bersedia untuk memulakan larian dalam acara pertama 42 km di garisan pemula di Padang Merdeka.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 321 peserta dari Indonesia, diikuti 170 peserta daripada Brunei, Singapura (109), China (14), United Kingdom (13), Kenya (12), Filipina (7), manakala Hong Kong dan Jepun masing-masing (6).

“Selain itu, seramai empat peserta dari Amerika Syarikat, India, Taiwan dan Thailand (2), New Zealand, Jerman dan Nigeria (1) dan negeri-negeri lain tidak dinyatakan seramai 35 peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelepasan ‘flag off’ acara utama Marathon antarabangsa 42 km di pekarangan Padang Merdeka, di sini pagi tadi.

SIMBOLIK…Abdul Karim (tujuh dari kiri) bersama Sim Hui Kian (enam kiri) mengetuai simbolik penekanan hon udara sebagai simbol pelepasan acara 42 km Kuching Maraton 2022

Dalam pada itu, Karim berkata, penganjuran semula Kuching Marathon 2022 berjaya memberi kesan positif terhadap perkembangan sektor pelancongan di sekitar Kuching selaku tuan rumah.

Katanya, kedatangan ramai peserta daripada luar negara pada acara larian kali ini cukup membanggakan susulan banyak hotel-hotel terutama hotel bajet di bandar raya Kuching telah penuh ditempah.

Untuk rekod, Kuching Marathon 2022 menghimpunkan empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 21 km, 10 km, dan 5 km. Pelancaran acara pertama iaitu 42 km pagi tadi dimulakan dengan pelepasan kira-kira 2,000 peserta.

Hadir sama, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Hui Kian, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, dan Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan.

Suara Sarawak